Wednesday, June 25, 2014

Sekolah Agama Dibantu

              SEKOLAH AGAMA DIBANTU

KUALA TERENGGANU – Permasalahan sosial dalam kalangan remaja yang semakin meruncing ketika ini menyebabkan ibu bapa lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berteraskan agama.

Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Murid, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Razak Jusoh berkata, ia berdasarkan senario semakin ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak menyambung pelajaran ke sekolah agama.

Menurutnya, setakat ini hampir 5,000 permohonan pelajar yang layak untuk menyambung pelajaran ke sekolah agama diterima, namun mereka gagal diterima masuk ke sembilan buah sekolah agama di negeri ini kerana tempat terhad.

“Ini disebabkan bilangan kelas di sekolah berkenaan hanya mampu menampung keperluan semasa seramai 1,400 pelajar lepasan UPSR pada setiap pengambilan.

“Bagaimanapun bilangan kelas di sekolah agama negeri sedia ditambah bagi menampung keperluan semasa ini,” katanya selepas merasmikan Kem Imam Muda Sekolah Menengah Agama Terengganu di Pusat Latihan Kecemerlangan Pendidikan Wakaf Tengah, di sini.

Menurutnya, setiap sekolah agama di negeri ini juga mempunyai kelayakan tertentu, iaitu 5A bagi Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, Batu Burok. Minimum 3A 2B bagi SMA Khairiah dan SMA Sultan Zainal Abidin di Ladang.

“Manakala 20 unit (gabungan lima subjek) bagi sekolah lagi iaitu SMA Al-Falah, SMA Mahmudiah, SMA Marang dan SMA Sultan Ismail Dungun dan 18 unit SMA Ittifakiah dan SMA Setiu,” katanya.

Pada program itu, seramai 120 pelajar sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menyertai program yang bermula pada 3 hingga 8 Disember anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

No comments:

Post a Comment